Wednesday, 12 November 2014

Rupabentuk Kediaman Yang Mana Menjadi Pilihan?

Teks: khairunnisa hamzahara

Apabila memiliki kediaman, pastinya setiap orang mahukan kediaman yang terbaik buat mereka sekeluarga. Biasanya dalam proses pembinaan kediaman, pastinya seseorang sangat risau akan rupabentuk bagaimana yang sesuai untuk kediamannya. Jika tersilap pilih pastinya perlu menghadap rupabentuk tersebut selamanya. Jadi sebelum membuat keputusan, kali ini saya kongsikan beberapa jenis rupabentuk kediaman untuk pengetahuan semua secara am. 

Konsep Moden

Gambar Dari Carian Google : Rumah berkonsepkan Moden

Apabila rumah berkonsepkan moden, rekabentuknya tidak dipengaruhi oleh mana-mana budaya. Ia direkabentuk secara terus, mudah dan biasanya berkotak-kotak. Kebanyakannya menggunakan bumbung rata dan dilengkapi dengan dinding kaca. Ia diminati oleh pelbagai golongan. Biasanya golongan muda yang lebih meminati konsep ini. Namun jika tidak berhati-hati atau terlalu berkotak, silap hari bulan, rekabentuknya boleh kelihatan seperti kilang. Oleh itu, perlu dititikberatkan setiap eleman yang digunapakai dan kawal saiz dinding, tingkap serta pintunya mengikut keperluan dan bersesuaian. Dari segi ruang di dalamnya ia bersifat terbuka dan setiap ruang dihubungkan secara langsung antara satu sama lain dan mungkin terdapat dua fungsi dalam satu ruang besar yang sama tanpa sekatan.


Konsep Inggeris

Gambar Dari Carian Google : Rumah berkonsepkan Inggeris
Rumah Konsep Inggeris sudah tentu berorentasikan rupabentuk dan senibina yang diketengahkan oleh masyarakat Inggeris. Rekabentuk ini sebenarnya mempunyai bumbung yang agak curam kerana bertujuan untuk menjatuhkan salji yang bakal menyelubungi bumbung apabila musim sejuk. Jika di bina di Malaysia, ia masih sesuai kerana ia bantu mengalirkan air hujan yang menimpa bumbung rumah apabila musim hujan. Warna-warna yang digunakan biasanya seperti warna biru, cokelat dan juga warna putih. Dari segi rekaletak ruang, ia kebanyakannya disusun secara privasi di mana ia berlorong dan setiap fungsi ruang terletak pada ruang yang dikhaskan. Tingkap dan pintu pula dibina satu persatu.

Konsep Tropikal

Gambar Dari Carian Google : Rumah berkonsepkan Tropikal
Apabila menyebut rumah tropikal, ia akan dikaitkan dengan iklim tropika terutamanya di kawasan garisan khatulistiwa. Iklim sebegini di lengkapi dengan musim panas dan hujan. Penerimaan cahaya yang banyak dan hujan yang banyak menyebabkan rekabentuk yang terhasil adalah seperti bumbung yang luas dan mempunyai beranda. Ini bagi memastikan bahang terik dan hujan lebat tidak terus masuk ke ruang dalam rumah menerusi tingkap, pintu mahupun bukaan lain. Jika di Malaysia, rekabentuk tropikal adalah yang terbaik kerana ia adalah rekabentuk yang terhasil berdasarkan iklim negara ini. Oleh kerana iklim tropikal menumbuhkan banyak pokok-pokok hijau, senibina dan rekabentuk ruang biasanya di hubungkan dengan persekitaran dan alam semulajadi bagi memanfaatkan alam yang menumbuh dan sekaligus meneduhkan rumah dari terik matahari dan menahan hujan yang lebat untuk terus membasahi tanah dan lantai.

Konsep Mediterranean   

Gambar Dari Carian Google : Rumah berkonsepkan Maditerrenean
Jika dilihat pada rekabentuk kediaman berkonsepkan Mediterranean, ia menggunapakai warna-warna yang tidak menjolok mata. Biasanya ia menggunakna warna-warna semulajadi seperti warna tanah(cokelat, jingga dan kuning telur)  dan warna putih. Bahan yang digunakan adalah menggunakan bahan alami iaitu seperti tanah liat, batuan dan juga kayu. Ini kerana konsep pembinaan mereka, apabila menggunakan bahan semulajadi dari daerah itu juga maka ia dapat menyejukan rumah dari kepanasan cuaca mereka yang melampau. Oleh kerana ia adalah gabungan gaya barat dan timur, ia mempunyai pelbagai jenis ornamen (ukiran dan corak) yang biasanya digunakan pada pintu, tingkap dan balkoni. Ya, konsep Mediterranean biasanya dilengkapi dengan balkoni. Rekabentuknya bersifatkan aman dan nyaman.

Konsep Bali 

Gambar Dari Carian Google : Rumah berkonsepkan Bali
Anda meminati konsep bali? Konsep Bali tidak dapat dipisahkan dengan air. Kerana air adalah elemen penting dalam rekabentuk Bali. Rekabentuk ruangnya mengikut aturan tata letak ruangan dan bangunan dalam Kitab Weda. Ada rumah adat yang tinggi dan rumah adat yang rendah. Setiap ruang ada fungsinya dan kawalan habanya di mana ada yang direndahkan bumbungnya dan ada yang ditinggikan bumbungnya. Rekaletak ruangnya menjurus kepada hubungan penghuni dengan pencipta. Sebab itu terdapat elemen tumbuhan dan air dalam rekabentuknya. Bahan yang digunakan biasanya dari alam seperti kayu dan batu-batuan dari gunung berapi. Binaannya menggunakan bahan yang kukuh dan alami. Jika ingin menggunapakai konsep ini, maka banyakan buat kajian. Di Malaysia, kebanyakan penghuni mengadu dengan konsep ini yang penuh dengan tumbuhan dan air menyebabkan penghuni dijangkiti demam denggi kerana jadi pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, jika menggunapakai konsep ini pastikan di kolam air ada membela ikan di dalamnya :)

Konsep Tradisional/Klasikal Melayu 

Gambar Dari Carian Google : Rumah berkonsepkan Tradisional/Klasikal Melayu
Konsep traditsional melayu klasik pula digunapakai mengikut rekabentuk rumah melayu tradisional. Di mana ia merupakan hasil senibina masyarakat Melayu dahulu yang membinanya mengikut aktiviti budaya melayu dan juga mengikut iklim semasa. Rumahnya ditinggikan dari tanah bagi menjadikan ia lebih sejuk kerana tanah panas apabila matahari terik. Rumah yang ditinggikan akan menjadi laluan angin yang menyejukan rumah. Elemen seperti tingkap dan pintu berkekisi (berlubang) untuk menghalang cahaya terik tetapi masih membenarkan angin masuk ke ruang bagi menyejukan ruang. Bumbung yang digunakan adalah bumbung limas atau bumbung curam bagi membenarkan air hujan lalu dengan lancar. Bahan yang digunakan seperti kayu keras kerana kayu menjadikan rumah lebih sejuk. Namun untuk rekabentuk moden, biasanya sudah ditukar kepada bahan sepeti batu batuan dan simen. Bagi masih menjadikan ruang di dalam rumah sejuk, pembinaan rapi boleh dilakukan iaitu menghasilkan dinding dua lapis menggunakan batuan di mana menghalang bahang terus ke ruang dalam rumah. Rekabentuk tradisional ini juga dilengkapi dengan berandah untuk santai keluarga dna menrima kunjungan tetamu.

Yang mana satu pilihan anda? Jika berminat untuk tahu lebih lanjut, anda boleh Google lain-lain cirinya. Anda pasti teruja dengan setiap ciri bagi konsep yang berlainan. Yang pasti, walau apa pun juga pilihan rupabentuk kediaman anda, anda perlu rancang dan berhati-hati terhadap:

1) Penggunaan Bahan
2) Pemilihan Warna
3) Interaksi antara ruang di dalam rumah
4) Interaksi antara ruang dalam dan luar rumah
5) Ruang yang wujud dapat menampung keperluan dan aktiviti seluruh penghuni

Kediaman yang dirancang dengan berhati-hati pastinya akan menjanjikan kepuasan dan berbaloi. Jadi, jangan malas untuk merancang. Jika anda tidak mampu merancangnya, lantiklah jurubina professional untuk merealisasikan kediaman impian anda. Namun, seeloknya pastikan anda mempunyai pengetahuan tentang gaya dan keperluan rekabentuk kediaman anda walau sedikit. Kerana akhirnya kediaman ini akan diduduki oleh anda sekeluarga. Jadi ia perlu selesa dan memenuhi keperluan anda sekeluarga.

Sampai di sini dahulu, insyaAllah saya akan kongsikan info dan tips yang lain berkenaan kediaman idaman kita semua pada akan datang. Jazakallah

Khairunnisa Hamzahara
Senibina Kehidupan Di Rumah

Dapatkan EBOOK PANDUAN KEDIAMAN PERTAMAKU (RM55) dengan membuat pembelian di sini http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/p/borang-tempahan.html

Untuk dapatkan khidmat rekabentuk kediaman boleh berkunjung ke http://rekabentuk3donline.blogspot.com

No comments:

Post a Comment